Bismillah......
Assalamualaikum wm..wbt..,
Yang berbahagia Encik Jor bin Ahmad, Yang Dipertua PIBG, SK. Taman
Tuanku Jaafar 2.
Yang berusaha Puan Rahimah bt Ibrahim, GPK 1.
Yang berusaha Puan Lim Chiew Yang, GPK HEM.
Yang berusaha Encik Azissul bin Mahat, GPK Kokurikulum.
AJK PIBG, barisan guru yang dedikasi seterusnya murid-murid yang
dikasihi sekalian.
Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allat S.W.T kerana dengan izin
dan limpah kurnianya dapat kita berhimpun pada hari yang berbahagia ini sempena
sambutan hari guru. Sambutan Hari Guru pada hari ini adalah sebagai tanda
pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru.
Selaku Guru Besar SK. Taman Tuanku Jaafar 2, saya ingin mengambil
kesempatan pada hari yang amat bermakna
ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. Saya
ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas
segala pengorbanan dan sumbangan besar para guru terhadap murid-murid dan
sekolah ini.
Pencapaian demi pencapaian diperolehi dan kejayaan demi kejayaan
dikecapi baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sehingga sekolah ini
mula digeruni oleh sekolah-sekolah rendah yang lain. Malah sekolah ini mula
dijadikan sebagai penanda aras kepada
sekolah-sekolah yang lain. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa para guru di
sekolah ini sentiasa positif dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara.
Murid-murid dan guru-guru yang dirahmati Allah sekalian,
“Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Begitulah
tema hari guru pada tahun ini. Pada pendapat saya, guru-guru di sekolah ini
telah memainkan peranan ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia. Apa
yang saya lihat ialah para guru di sekolah ini bukan sahaja menekan aspek
akademik dan kokurikulum semata-mata. Para guru di sekolah ini juga berusaha
untuk membangunkan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem nilai iaitu
aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri para pelajar.
Guru memainkan peranan yang signifikan kepada pembinaan dan pembangunan
sahsiah dan peribadi murid-murid. Malah, dengan perkembangan semasa yang mana
berlakunya gejala ponteng sekolah, pergaduhan dan lain-lain dipikul oleh guru
dengan rasa penuh tanggungjawab.
Bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menuntut agar
para guru dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani.
Hadirin yang saya muliakan,
Inisiatif Tawaran Baru telah menunjukkan hasil yang amat positif
apabila guru-guru di sekolah ini layak menerima bayaran insentif atas perkhidmatan
mereka yang cemerlang. Alhamdulillah, segala perit jerih guru-guru sekalian telah membuahkan hasil
apabila sekolah ini menerima baiah sekali lagi bagi tempoh dua tahun
berturut-turut. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru di
sekolah ini.
Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, proaktif, inovatif
dan ibu bapa yang prihatin maka Insya-Allah proses melonjakkan transformasi
pendidikan negara di sekolah ini dapat direalisasikan. Dengan keringat
guru-guru ini, maka sekolah dapat melahirkan insan yang mulia dan membina masa
depan yang sejahtera.
Hadirin sekalian,
Bertitik tolak daripada sumbangan dan pengorbanan guru ini, maka
sewajarnya murid-murid dan masyarakat meraikan sambutan hari guru pada hari ini
sebagai menghargai warga pendidik . Bak kata pujangga tentang guru ialah,
Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa, dia juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian
akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada
nusa dan bangsa.
Sekian, wabilahitaufiq wal-hidayah wassalam....
SELAMAT HARI GURU
ReplyDelete