BURUNG ini semakin terancam kerana diseludup ke Indochina
sebagai hidangan eksotik.
_______________________________________________________
SEBUT sahaja burung hantu, persepsi awal seseorang pasti
akan mengaitkan haiwan itu sebagai sebab utama seseorang dilanda kecelakaan
mahupun peristiwa buruk.
Malah, cerita itu bukan sahaja menjadi bahan cerita di
negara ini tetapi melangkau ke Greenland. Namun, usah khuatir, di sebalik
cerita negatif ada kisah menarik mengenai burung unik ini. Sememangnya, burung
hantu sering dianggap sebagai pembawa sial. Itu menyebabkan ramai yang
beranggapan haiwan itu merupakan penjelmaan hantu atau haiwan peliharaan hantu.
Bermula di India, sesetengah penduduk kampung di pedalaman
India menganggap burung hantu sebagai penolong dan lambang kebijaksanaan.
Pendapat itu juga dipercayai oleh orang-orang lama di Britain. Tetapi jika
seseorang bermimpi burung hantu, itu merupakan petanda rumah bakal dirompak.
Tidak berhenti begitu sahaja, di utara England, jika seseorang yang terlantar
sakit terlihat burung hantu bermakna dia akan menemui ajal tidak lama lagi.
Pelik
Menjengah Ireland pula, ada individu yang menggunakan bulu
burung hantu untuk diletakkan di bawah bantal bayi agar si kecil mudah tidur.
Malah, ada yang percaya burung itu mampu memusingkan kepalanya sebanyak 360
darjah. Cerita yang kebiasaan kita dengar ialah haiwan itu digunakan oleh bomoh
untuk aktiviti pengamal khurafat itu.
Di Algeria, meletakkan mata burung hantu jenis Eagle di
tangan kiri wanita yang sedang tidur akan menyebabkan wanita tersebut akan
bercerita kesemua rahsianya. Masyarakat Perancis pula menganggap jika wanita
hamil mendengar suara burung hantu bermakna anak yang dikandung ialah bayi
perempuan.
Masyarakat di rantau Arab turut mempunyai mitos mengenai
burung hantu. Mereka percaya kanak-kanak nakal akan insaf dengan perlakuan
buruk masing-masing jika dihinggapi burung tersebut.
Segelintir masyarakat China, Jerman, Greenland pula percaya
haiwan tersebut mampu memberikan kekayaan, membahagiakan keluarga, memberikan
sumber inspirasi kepada keluarga yang memeliharanya.
Bagi segelintir individu di negara ini dan Indonesia, burung
hantu lebih mengerikan kerana ia akan memakan bayi yang baru lahir. Orang Jepun
ada yang menganggap burung hantu jenis Eagle pembawa mesej yang baik dan
kemakmuran kepada keluarga.
Lazat
Di sebalik kepercayaan itu, burung hantu sebenarnya semakin
terancam kerana menjadi buruan untuk diseludup ke Indochina sebagai hidangan
eksotik. Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(Perhilitan), Datuk Abdul Rasid Samsudin memberitahu, haiwan itu mendapat
permintaan tinggi di pasaran gelap dengan harga mencecah RM200 seekor. Katanya,
modus operandi yang dijalankan penyeludup ialah menerima pesanan daripada Orang
Asli sebelum diseludup ke luar negara melalui laluan laut atau darat.
“Burung hantu menjadi kegemaran penggemar makanan eksotik di
Indochina. “Ia dikenal pasti mendapat permintaan tinggi berdasarkan beberapa
rampasan yang dibuat sebelum ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment