Sunday, February 12, 2012

Hakisan, minyak punca pencemaran

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Khalid Zahrom, 32, ketika baharu memulakan tugasnya di Taman Negara Tanjung Piai ialah 'dia disambut mesra sekumpulan kera.'

Biarpun agak terkejut, dia akhirnya dapat membiasakan diri dengan keadaan itu. Hari ini seperti juga kira-kira tujuh tahun lalu sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di tanah besar paling selatan benua Asia ini, Khalid masih tidak dapat memisahkan dirinya dengan haiwan liar tetapi 'mesra' tersebut.

Cuma bezanya, jika dahulu dia agak terkejut, kini, Pengurus Taman Negara Tanjung Piai itu mengakui dia cukup senang dengan kehadiran hidupan tersebut. Malah, mungkin tidak keterlaluan dikatakan dia tidak boleh dipisahkan dengan kera-kera terbabit.

Apa yang dilalui oleh Khalid sebenarnya turut dirasakan oleh setiap pengunjung ke Taman Negara Tanjung Piai.

Terletak di mukim Kukup, dalam daerah Pontian, Johor, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam taman negara ini yang dipenuhi hidupan paya bakau, kita akan terhibur dengan telatah kera-kera yang lepas bebas.

Di sebalik kepentingannya kepada kesinambungan usaha memelihara alam sekitar, Taman Negara Tanjung Piai kini menghadapi fenomena ancaman yang sangat serius - hakisan.

''Saya menyertai taman negara pada 2004, sepanjang laluan 70 meter terakhir ini dulu dipenuhi pokok, sekarang dah terang," katanya yang menemani kami hingga ke hujung tanjung.

Untuk sampai ke penghujung selatan tanah besar benua Asia itu, kami perlu berjalan kaki bermula dari pintu masuk menggunakan jambatan kayu yang disediakan sejauh satu kilometer.

Dan sebagai membuktikan kata-kata Khalid, kesan-kesan tunggul kayu mati masih dapat dilihat dengan jelas di situ.

Dalam masa sama, fenomena hakisan yang berleluasa, mendedahkan Taman Negara Tanjung Piai kepada situasi lebih mencemaskan.

Menurut Khalid, keadaan tersebut bukan sahaja memudaratkan masa depan Tanjung Piai sebagai tanah besar penghujung benua Asia tetapi juga peranannya sebagai sebuah taman negara.

''Jika tiada langkah-langkah pencegahan diambil segera, kita bimbang Tanjung Piai akan hilang suatu hari nanti.

''Bayangkan sahaja kalau pada 2004, dari sini kita tak akan nampak resort yang ada di hujung sana kerana dilindungi hutan, sekarang kita boleh nampak dengan jelas," katanya sambil menuding ke arah resort itu dari pelantar di hujung tanjung.

Kata Khalid, hakisan telah mula dikesan sejak tahun 1970-an dan mula kritikal pada 2001 sehingga sekarang.

Melihat kepada 'kuasa' hakisan yang berlaku, dia menjangkakan tanjung yang mempopularkan negara di mata dunia itu mungkin akan bertahan untuk tempoh tujuh hingga 10 tahun sahaja lagi.

Sebagai tanjung yang menganjur ke laut, cabaran lain dihadapi ialah pencemaran akibat tumpahan minyak daripada kapal.

Katanya, pada 1997, dua kapal yang berlanggar di perairan Singapura telah mengakibatkan tumpahan minyak yang banyak.

Malah pada September 2003, tumpahan minyak daripada sumber yang tidak diketahui telah dijumpai di beberapa kawasan sepanjang pesisir hutan bakau Tanjung Piai.

Kejadian seterusnya berlaku pada 10 September 2011 membabitkan tumpahan minyak di kawasan sepanjang 300 meter hutan bakau Tanjung Piai. Malangnya tiada pihak yang berjaya diberkas.

Dalam masa sama secara jujur Khalid berkata, ramai juga pengunjung yang tersalah tafsir tentang tempat tersebut.

''Ada sesetengah mereka menyangka kawasan ini adalah tempat peranginan. Hakikatnya ia hutan bakau yang matlamat penubuhannya adalah untuk pemuliharaan selain bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan bakau untuk kehidupan sejagat," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_02.htm

No comments:

Post a Comment